fbpx

Kami tergerak hati cari Danish, nampak dia terapung – Penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANG Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam turut ke lokasi penemuan mayat Danish di Taman Desa Baru di sini bagi menzahirkan ucapan takziah pada keluarga mangsa. - Foto AMRAN MULUP

MELAKA – Gerak hati sepasang suami isteri membantu mencari Muhammad Danish Mohd. Faizal, 2, yang disyaki terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras hujan di sini, petang semalam berjaya menemukan jasad mangsa pada pukul 9.20 pagi tadi.

Mohd. Arif Zulkifli, 35, berkata, dia dan isterinya, Nur Hidayah Yahya, 32, yang menetap di Permatang Duyong keluar mencari mangsa kira-kira pukul 8.40 pagi tadi bermula di kawasan Bukit Baru sehingga ke Taman Desa Baru.

“Masa tu saya tengah buat kerja sikit tiba-tiba isteri beritahu ada budak hilang jatuh longkang, memang masa tu terus tergerak hati ajak dia keluar untuk membantu mencari.

“Kami periksa setiap saliran sehinggalah ke longkang besar ni, tiba-tiba nampak mayat tu terapung dan bergerak perlahan mengikut arus air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, dia kemudian terus mendapatkan bantuan penduduk berdekatan untuk menolak mayat mangsa ke bahagian tepi longkang dan menahannya menggunakan tangga sehingga pasukan polis tiba di lokasi.

Ujarnya, meskipun dia dan pasangannya masih belum dikurniakan cahaya mata, namun perasaan simpati dan kasihan yang dirasakan mereka begitu mendalam apatah lagi mangsa baru sahaja berusia dua tahun.

“Isteri beritahu dia tengok penstriman langsung (live) TikTok daripada malam tadi, orang bantu mencari Danish tapi tak jumpa.

“Itu yang kami rasa kasihan sangat dan terus keluar menaiki motosikal dari Permatang Duyong ke lokasi,” katanya.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 1.3 kilometer dari kawasan dilaporkan hilang.

Katanya, pasukan bomba telah membantu membawa naik mayat dan pemeriksaan awal pada tubuh mangsa menjumpai kesan luka di bahagian kepala.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dirujuk kepada Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI