BANDAR GAZA – Seramai 17 tebusan dibebaskan oleh Hamas semalam dan dilaporkan tiba di Israel selepas proses itu tertangguh selama sejam, demikian menurut tentera Rejim Zionis seperti dilaporkan laman berita NBC News.
Mereka terdiri daripada 13 penduduk Israel serta empat warga Thailand yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata kemanusiaan antara Zionis dan Hamas.
“Menerusi perjanjian itu, pembebasan hari kedua terhadap 39 tahanan Palestin yang ditahan oleh pihak berkuasa Rejim Zionis telah dilakukan,” kata jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel.
Kesemua 13 penduduk Israel yang dibebaskan itu berumur dalam lingkungan tiga hingga 67 tahun, demikian menurut senarai dari Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Seramai 50 daripada kira-kira 240 orang yang ditahan oleh Hamas semasa serangan pada 7 Oktober lalu serta 150 tahanan Palestin dijangka dibebaskan sebelum gencatan senjata selama empat hari berakhir esok.
Dalam pada itu, Palang Merah memindahkan tebusan-tebusan tersebut ke Mesir sebelum mereka menjalani penilaian perubatan awal di wilayah Israel dan dibawa ke hospital untuk disatukan dengan keluarga masing-masing.
Pembebasan tersebut sebelumnya tertangguh berhubung dakwaan Hamas yang mengatakan bahawa Israel telah melanggar syarat perjanjian gencatan senjata termasuk tidak membebaskan tahanan-tahanan Palestin. – AGENSI