JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor lega Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menarik balik keputusan tidak mempertahankan kerusi Presiden pada pemilihan parti itu penghujung 2024.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, keberadaan Muhyiddin kekal di kerusi Presiden adalah penting bagi memastikan parti tidak kehilangan pemimpin berwibawa dan berintegriti.
Beliau berkata, Muhyiddin sebagai pemimpin utama Bersatu menjadikan parti itu menjadi pilihan orang Melayu bagi menjamin, mempertahan dan memperjuangkan kepentingan mereka.
“Keputusan Tan Sri Muhyiddin mengekalkan status quo juga bermakna beliau masih menjadi alternatif kepada pemimpin kerajaan sekarang yang gagal merealisasikan janji mahupun manifesto walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) genap setahun pada 19 November lalu.
“Ini bukan bererti parti ketandusan pemimpin tetapi keterlibatan dan input beliau masih diperlukan bagi melaksanakan beberapa proses penambahbaikan serta pemerkasaan parti.
“Keberadaan Tan Sri di kerusi Presiden turut menjamin bukan sahaja persiapan dan kekukuhan Bersatu menuju PRU16 malah memastikan keutuhan kerjasama Bersatu, Pas dan Gerakan yang membentuk gagasan Perikatan Nasional (PN) dapat dipertahankan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Solihan berkata, Bersatu Johor berpandangan bahawa Muhyiddin cukup sinonim dengan Bersatu dan PN.
Justeru, katanya, tanpa beliau kedua-dua entiti politik ini boleh terjejas bahkan menghampakan harapan sebahagian besar rakyat terhadap sebuah parti utama Melayu yang mendokong kepemimpinan Islam di negara ini.-KOSMO! ONLINE