VALENCIA – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia menepati ramalan apabila mengekalkan gelaran dunia MotoGP dua kali berturut-turut selepas menjulang kemenangan pada perlumbaan penutup tirai di Grand Prix (GP) Valencia sebentar tadi.
Bagnaia yang memulakan saingan dipetak utama selepas Maverick Vinales dikenakan penalti turun tiga posisi akibat mengabaikan bendera hitam telah membuka peluang kepada Bagnaia untuk mengawal perlumbaan tersebut pada awal saingan.
Pelumba Pramac Racing, Martin yang turun dengan misi juara selepas hanya dipisahkan 12 mata di belakang Bagnaia tampil agresif apabila berjaya meletakkan dirinya di kedudukan kedua biarpun memulakan perlumbaan dipetak keenam.
Bagaimanapun, strategi Martin untuk memintas Bagnaia lebih awal tidak menjadi apabila telah melakukan kesilapan hingga hampir melanggar seteru utamanya itu di selekoh pertama sebelum ketinggalan di kedudukan kelapan.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Martin terus agresif memintas seorang demi seorang pelumba tetapi tindakannya itu mengundang padah apabila dia terjatuh selepas melanggar belakang Marc Marquez (Repsol Honda) di pusingan keenam sekali gus menutup peluangnya untuk meraih gelaran dunia di Valencia.
Bagnaia tidak menoleh kebelakang dan meneruskan perlumbaannya tanpa tekanan sekali gus menjuarai saingan itu biarpun ditentang hebat pelumba Gresini Racing, Fabio Di Giannantonio yang menamatkan perlumbaan tempat kedua dan Johann Zarco (Pramac Racing) tempat ketiga.
Hasil kemenangan tersebut, pelumba Itali itu kini berjaya meletakkan namanya sebaris bersama legenda Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila berjaya mempertahankan gelaran dunia berturut-turut.
Sejak saingan MotoGP diperkenalkan pada 2002, hanya dua pelumba pernah mempertahankan gelaran dunia MotoGP iaitu Valentino Rossi ketika mewakili Yamaha dan Marc Marquez bersama Repsol Honda. -KOSMO! Online