fbpx

Air balang tak laku di musim hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peniaga air balang setia menanti kehadiran pelanggan biarpun ketika musim hujan ketika tinjauan di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Peniaga air balang di Lembah Klang me­ngakui pendapatan mereka terjejas teruk kerana kekurangan pembeli berikutan musim hujan pada masa ini.

Rata-rata mereka mendakwa terpaksa menanggung kerugian jualan sebanyak 50 peratus berbanding ketika cuaca baik sebelum ini.

Peniaga air balang di kawasan Masjid Jamek, Laila Suriaty Mohd. Nor, 46, berkata, sebelum ini, dia mampu menjual sehingga 15 balang sehari, tetapi sekarang hanya dapat menghabiskan lima ­balang.

“Keadaan ini memberi ‘tamparan’ hebat kepada perniagaan saya memandangkan harga barangan keperluan meningkat pada masa ini.

“Kami memang sangat terkesan. Sebagai peniaga air ­balang, kami begitu bergantung pada cuaca. Kebiasaannya, jika air balang tidak habis dijual, ia akan dibuang.

“Keesokan harinya, kami terpaksa keluarkan duit untuk membeli barang modal. Itu yang membuatkan kami bertambah rugi,” katanya ketika ditemui Kos­mo! Ahad di sini semalam.

Tambahnya, dia kini mempromosikan lebihan jualan air ba­lang dalam media sosial terutama di Facebook sebagai inisiatif menghabiskan jualan.

Seorang lagi peniaga air ­balang di Taman Tasik Permaisuri yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 50, memberitahu, dia mengambil langkah mengurangkan jumlah jualan sebagai langkah meminimumkan kerugian ketika musim hujan.

“Ketika musim hujan seperti sekarang, kami kurangkan air ba­lang kepada separuh dan bancuh lagi sekiranya ia habis.

“Kadang-kadang, jika air yang dijual tidak habis kami terpaksa mengurangkan harganya hanya untuk menghabiskan jualan pada hari berkenaan,” katanya.

Tambahnya, biarpun berdepan dengan situasi sukar ketika ini, namun lelaki itu tetap ­bersyukur dan reda dengan apa yang berlaku.

Di Shah Alam, seorang lagi peniaga air balang, Safiah Mohd. Yusof, 39, berkata, dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi membantu peniaga kecil sepertinya ketika jualan mereka berkurangan ketika ini.

“Sekarang musim hujan, tiada apa yang saya dan suami boleh harapkan.

“Kami bernasib baik kerana menerima bantuan daripada Fama Selangor yang membantu peniaga kecil seperti saya.

“Kalau hendak harapkan perniagaan air balang ketika ini, memang tidak cukuplah,” ujar wanita itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI