DHAKA, Bangladesh – Sembilan ekor kambing yang menjalani hukuman ‘penjara’ selama lebih setahun akhirnya dibebaskan di bandar Barisal, Bangladesh kelmarin, lapor laman berita Wion News.
Akhbar Dhaka Tribune melaporkan, kambing-kambing itu ditahan dan dikurung kerana makan rumput serta daun daripada pokok di sebuah tanah perkuburan di bandar Barishal.
Datuk Bandar Barishal City Corporation (BCC) yang baru dipilih, Abul Khair Abdullah telah mengarahkan pembebasan haiwan-haiwan tersebut.
Kesemua kambing itu dilaporkan telah ditahan sejak 6 Disember tahun lepas. Pegawai pentadbiran BCC pada ketika itu, Swapon Kumar Das mengesahkan penahanan tersebut ketika kejadian.
Langkah pembebasan dibuat selepas pemilik kambing-kambing itu, Shahriar Sachib Rajib merayu kepada Datuk Bandar BCC untuk membebaskan haiwan-haiwan peliharaannya baru-baru ini. – AGENSI