PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keterujaannya untuk kembali bekerja usai menjalani satu prosedur pembedahan baru-baru ini.
Beliau juga sempat berkongsi sekeping gambar di laman Instagram beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Terima kasih kepada Datuk Seri sudi ziarah sebelum ke Karnival Usahawan Desa (KUD), Putrajaya hari ini.
“Insya-Allah, saya tidak sabar untuk kembali bertugas, kembali memberikan yang terbaik untuk menjalankan amanah yang ditaklifkan.
“Moga jalinan ukhwah ini terus berkekalan dan mendatangkan kebaikan bersama demi rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran sama.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memuat naik gambarnya dalam keadaan ceria disebalik desas-desus yang mendakwa beliau sedang sakit.
Kemudian anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah turut mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani satu prosedur pembedahan baru-baru ini.
Terdahulu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dalam Facebooknya memaklumkan Ahmad Zahid dipercayai melakukan pembedahan membuang ketumbuhan disyaki kanser prostat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya selepas menjalani pembedahan.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan.
“Semoga Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan serta menempatkan kita semua dalam rahmat dan kasihNya,” katanya. – KOSMO! ONLINE