SHAH ALAM – Ketokohan dan kewibawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih ditagih dan figura itu disifatkan sebagai wira dalam parti tersebut.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti mendambakan kepimpinan Muhyiddin bagi membawa Bersatu ke tahap yang lebih baik.
“Parti ini berdiri tegak disebabkan perjuangan ikhlas Tan Sri (Muhyiddin).
“Tan Sri bukan sahaja wira parti, tetapi juga pejuang agama, bangsa dan negara. Kami masih sayangkan Tan Sri,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2023 Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Justeru itu, beliau memberitahu semua perwakilan sebulat suara menolak keputusan Muhyiddin yang enggan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti pada tahun hadapan.
“Ayuhlah, kita membulatkan tekad supaya Tan Sri meneruskan perjuangan sebagai Presiden.
“Masih tiada ahli yang boleh menggantikan Tan Sri sebagai Presiden,” katanya dalam nada sayu.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti yang akan diadakan tahun depan bagi memberi ruang kepada pimpinan baharu menerajuinya. -KOSMO!ONLINE