PARIT – Keluarga empat beradik yang ditinggalkan tanpa jagaan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah kelmarin menafikan dakwaan bahawa mereka menghalau kanak-kanak itu.
Seorang ahli keluarga dikenali Ismail, 30, berkata, dakwaan itu tidak benar kerana empat beradik itu sebaliknya dihantar sendiri bapa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.
“Kami tidak halau, nenek kanak-kanak itu pun tidak halau mereka, yang bawa keluar kanak-kanak itu dari rumah ini adalah bapa mereka sendiri.
“Lagipun, mereka budak-budak, tak akan kami sampai hati pula mahu menghalau mereka. Sepanjang mereka tinggal di sini pun, kami jaga dan sediakan makan minum,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, empat beradik itu sebelum ini tinggal di Changkat Lada dan dihantar ke rumah nenek mereka di Kampung Kuchai pada 4 November lalu untuk jagaan sementara.
Katanya, kanak-kanak itu dihantar oleh seorang wanita yang mendakwa sebagai penjaga.
“Apa yang saya tahu, wanita tersebut adik angkat kepada ibu kanak-kanak itu. Dia tinggalkan empat beradik itu untuk dijaga bapa mereka.
“Tapi, lelaki itu pun bukannya tinggal di sini, dia pun menumpang. Disebabkan ada anak-anaknya di sini, maka dia terpaksa jagalah,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini, mereka sekeluarga telah memaklumkan mengenai keadaan empat beradik yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu kepada JKM untuk tindakan lanjut.
Berikutan itu katanya, pihak JKM telah menghubungi ibu empat beradik itu supaya dia mengambil semula anaknya, namun wanita tersebut sering memberi pelbagai alasan.
“Dia banyak kali cakap mahu datang ambil anaknya tetapi tak datang pula,” katanya.