SEBERANG PERAI – Kerosakan jentera tidak menghalang pelumba Tobaki Cilik Pink Racing Team (TCPRT), Qhuwarismi Nasir daripada menempatkan diri ke aksi final, Pusingan 10 Kejuaraan Cub Prix Malaysia bagi kategori CP150 di Stadium Batu Kawan, esok.
Terdahulu, Qhuwarismi yang juga anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu layak berdasarkan catatan masa terbaiknya ketika sesi ujian masa bagi kategori tersebut pada sebelah pagi.
Kejayaan pelumba muda berusia 24 tahun itu layak ke final sekali gus menyaksikan dia bakal bertarung dengan 23 pelumba lain, esok.
Lebih manis, dua lagi pelumba pasukan tersebut iaitu Harith Farhan dan Afizi Supaat turut melangkah ke pusingan akhir selepas masing-masing turut merekodkan catatan masa terbaik.
Dalam pada itu, Qhuwarismi yang lebih mesra disapa sebagai Qhori berkata, dia tidak menyangka jenteranya akan berdepan masalah ketika sesi kelayakan tersebut kerana sebelum perlumbaan, dia gagal mengesan sebarang tanda amaran yang berkaitan.
“Baru tarik (clutch) tak sampai empat atau lima ‘lap’, tiba-tiba enjin ‘senyap’. Sebelum ini, motor memang pernah ‘jammed’ (mengalami kerosakan teknikal) juga tapi masa itu dia ada bagi ‘warning’ (tanda amaran) sebelum rosak. Kali ini tak ada,” katanya kepada Kosmo!.
Qhuwarismi bagaimanapun berharap dapat memberikan persembahan terbaik esok sebaik sahaja jenteranya berjaya ‘dipulihkan’.
“Pulau Pinang adalah tempat saya dan saya berharap dapat beraksi dengan lebih cemerlang untuk mendapatkan posisi yang lebih baik esok,” katanya.
Dalam pada itu, pemilik TCPRT, Atikah Azwar turut berharap agar ada dalam kalangan pelumba pasukan itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik walaupun gagal menaiki podium.
“Walaupun masih awal dan sukar untuk menentukan keberadaan pelumba dalam kelompok lima terbaik tetapi sebolehnya akan usaha untuk mencapainya esok. -KOSMO! ONLINE