KEANGGUNAN hiasan dalaman gaya Inggeris sering kali dikaitkan dengan gabungan unsur tradisi dan suntikan elemen moden yang tidak lapuk ditelan zaman.
Palet warna natural seperti warna kuning air, krim, putih atau kelabu tua merupakan antara pilihan warna yang selari dengan konsep dari Eropah itu.
Namun, bagi peminat warna merah jambu, Nur Mardiana Che Md. Kari, sentuhan rona warna pink shabby menambahkan lagi pesona pada estetika klasik tersebut.
Dengan itu, wanita berusia 39 tahun tersebut menghias kediaman teres setingkat berkeluasan 20×65 kaki persegi di Paya Rumput Melaka miliknya dengan tema English Pink Shabby.
“Dari zaman persekolahan, saya memang suka konsep Inggeris Setiap kali saya melihat perkongsian dekorasi di media sosial, pasti dekorasi berkonsepkan Inggeris yang berjaya menambat hati saya.
“Saya juga minat warna merah jambu. Oleh itu, saya cuba padankan dua kombinasi kesukaan ini dan jumpa gaya pink shabby (merah jambu lusuh),” katanya kepada K2.
Menjengah ke bahagian ruang tamu, wanita yang bekerja sebagai jururawat itu memilih warna putih sebagai warna asas keseluruhan dekorasinya.
Warna ini dapat dilihat pada kabinet terbuka tanpa kaca dan berbentuk arch yang dilekatkan pada dinding.
Selain itu, warna putih juga diterapkan pada pemilihan perabot seperti kerusi, almari, pendiang api tiruan serta beberapa aksesori bertemakan Inggeris.
Elemen merah jambu shabby pula diterjemahkan melalui warna dinding, bantal sofa dan beberapa aksesori terpilih bagi menyeimbangkan suasana.
Sentuhan warna merah jambu ini secara tidak langsung membangkitkan aura romantis yang menenangkan.
Kongsi Mardiana lagi, dia bertuah kerana suaminya, Mohamad Faizal Ghazali, 34, turut meminati warna merah jambu dan banyak membantu dalam urusan hiasan rumah mereka.
“Saya gabungkan tema warna merah jambu dengan warna rona putih untuk menaikkan lagi seri warna yang lembut dan tenang.
“Sokongan padu daripada suami yang turut menyukai warna merah jambu semestinya memberikan keyakinan kepada saya untuk menggunakan konsep ini,” tuturnya.
Di bahagian dapur pula, warna merah jambu terang menguasai bahagian kabinet dan perabot seperti peti ais dan meja bar berlaci.
Sentuhan warna putih pula dilihat pada bahagian dinding belakang, kertas dinding dan tile pada kabinet dapur serta beberapa perkakas dapur.
Bagi memastikan kesenadaan, penggunaan dua warna tersebut konsisten pada ruang bilik, ruang dobi dan juga ruang solat.
Menurut Mardiana lagi, inspirasi kediamannya diambil menerusi sumber internet tanpa menggunakan khidmat pakar hiasan dalaman.
Ujarnya, melihat bondanya yang gemar menghias rumah sewaktu kecil menjadikan minat dan kebolehan dalam menyusun atur itu lahir secara semula jadi.
Mengulas berkenaan bajet keseluruhan, wanita yang turut meminati Hello Kitty itu menjelaskan keseluruhan hiasan dalamannya memakan belanja sebanyak RM30,000.