GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan kawalan keselamatan semua institusi pendidikan di negara ini dipertingkatkan susulan ancaman bom palsu yang diterima menerusi emel sejak Selasa lalu.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, keselamatan warga sekolah terutamanya pelajar dan guru-guru sentiasa menjadi keutamaan, malah KPM sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.
Menurutnya, sebanyak 51 laporan kes berhubung ancaman bom sudah diterima setakat ini membabitkan sekolah di beberapa negeri terlibat.
“Kita ada garis panduan keselamatan dan setakat ini, semua sekolah telah dimaklumkan untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan serta laporkan kepada pihak polis sekiranya ternampak orang yang tidak dikenali atau situasi yang mencurigakan.
“Selain itu, kami turut memahami kebimbangan ibu bapa namun saya jamin KPM dan PDRM mengutamakan keselamatan anak-anak mereka yang berada di sekolah.
“Saya amat berharap tindakan (ancaman palsu) ini dapat dihentikan bagi mengelakkan ketakutan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sesi 2023/2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) AlMashoor, di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain, memaklumkan PDRM masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif hantaran emel ancaman itu dibuat, namun menolak kaitan dengan pendirian negara dalam isu Palestin. – KOSMO! ONLINE