KUALA LUMPUR – Presiden baharu Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee mahu menjadikan ‘suara’ persatuan itu lebih berpengaruh bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan jurulatih di negara ini terus terjaga.
Mengambil kira peranan yang dimainkan oleh jurulatih dalam industri bola sepak di negara ini, pengendali Sabah itu mengimpikan Malaysia mampu memiliki ramai individu berkebolehan bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti.
“Ini bukan tugas mudah untuk kendalikan persatuan besar namun saya ada barisan (pucuk pimpinan) yang seimbang, terdiri daripada jurulatih muda dan senior. Ini penting bagi pastikan program kita tidak hanya menjurus kepada jurulatih tertentu saja.
“Sebaliknya nak lihat juga jurulatih di akar umbi kerana mereka memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat baharu sekaligus tidaklah kita hanya fikir soal naturalisasi,” katanya pada Kongres Tahunan PJBM bagi penggal 2022-2026, hari ini.
Kim Swee dipilih selepas menang tanpa bertanding dan bagi menggantikan presiden terdahulu, mendiang B. Sathianathan yang meninggal dunia, Julai lalu.
“Kita akan teruskan perancangan mendiang Satianathan dan juga punyai perancangan tersendiri. Apa yang penting adalah kita pastikan kebajikan jurulatih tempatan dititikberatkan kerana banyak isu yang timbul selama ini.
“Pada masa sama, mahu pastikan terdapat satu formula terbaik di antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya jurulatih diberikan sesuatu yang sepatutnya kita terima seperti mana persatuan pemain yang cukup kuat,” katanya.
Jawatan lain menyaksikan bekas pengendali Melaka United, Asri Ninggal dipilih mengisi posisi timbalan presiden bersama Razif Ismail.
Empat naib presiden diisi oleh ACP (B) Md Dali Waid, Rezal Zambery Yahya, Ishak Kunju Mohamad, Aminuddin Hussin.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif pula diisi oleh Ridzuan Abu Shah, Sulaiman Hussin, Rashid Mamud, Noor Zaidi Rohmat, Chiew Chon Yong, Farhana Abdullah, Siti Suhaila Johari, S. Balachandran dan Haris Lajid. – KOSMO! ONLINE