fbpx

Keterangan Sirul Azhar tiada merit, tidak berasas – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sirul ketika sesi wawancara bersama Al Jazeera English di Sydney, Australia. (Gambar kecil Razarudin)

PETALING JAYA – Dakwaan bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dalam temu bual eksklusif bersama saluran berita Aljazeera English’s 101 East baru-baru ini dilihat tidak mempunyai merit serta tidak berasas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Sirul itu bakal menimbulkan lebih banyak spekulasi.

“Dalam perkembangan terbaru Sirul, kita melihat keterangan yang diberikan olehnya langsung tidak mempunyai merit dan tidak berasas dan ia hanyalah bersifat kenyataan liar yang boleh menimbulkan lebih banyak spekulasi.

“Beliau (Sirul) telah diberi peluang untuk membela diri selari dengan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.

“Namun, dakwaan beliau ini tidak pernah dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili beliau, dari Mahkamah Tinggi sehinggalah di Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razarudin, Sirul mempunyai hak dan perlu tampil untuk menuntut keadilan sekiranya beliau mempunyai keterangan-keterangan baru.

“Beliau atau melalui peguamnya, boleh membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang perlu berkaitan dakwaan tersebut.

“Namun, sehingga kini beliau masih belum lagi membuat sebarang permohonan untuk membuat semakan ke atas hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.

“Hukuman itu selari dengan Akta semakan hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati untuk membuat semakan bermula dari tarikh 12 September tahun ini,” jelasnya.

Semalam Kosmo! melaporkan Sirul merayu untuk tinggal di Australia dan menyatakan bahawa adalah berbahaya baginya pulang ke Malaysia.

Dalam temu bual eksklusif bersama saluran berita Aljazeera English’s 101 East, dia juga memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan meminta pengampunan mereka.

Sirul mendakwa bahawa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, dia telah dijadikan ‘kambing hitam’ dan terperangkap dalam permainan politik. Sirul juga mengaku menerima wang RM1 juta semasa berada di Australia daripada sumber yang tidak dinamakan untuk ‘menutup mulutnya’.

Dia juga membuat beberapa dakwaan serius yang belum disahkan terhadap beberapa personaliti terkemuka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI