fbpx

5,050 wanita jadi mangsa keganasan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kes keganasan terhadap wanita masih berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 5,050 kes direkodkan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu melibatkan kes keganasan rumah tangga, rogol dan gangguan seksual di seluruh negara.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,334 kes keganasan dicatatkan pada tahun 2021, manakala 8,580 kes pula pada tahun 2022.

“Kebanyakan kes keganasan terhadap wanita dilakukan orang yang dikenali. Terdapat juga kes yang tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau peribadi.

“Justeru kementerian menggerakkan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita sempena sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita hari ini.

“Kempen ini mengajak seluruh rakyat Malaysia memakai pakaian berwarna jingga bagi mempamerkan solidariti dalam menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPWKM dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNPFA) turut mengadakan simbolik pelancaran kempen menerusi sinaran cahaya jingga di Menara Kuala Lumpur semalam.

Tambah Nancy, pihaknya komited untuk terus melindungi wanita khususnya mereka yang menjadi mangsa keganasan dengan pelaksanaan pelbagai perkhidmatan, program dan inisiatif berkaitan.

“Antaranya adalah penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 dan program Advokasi Antigangguan Seksual (AAGS) bertujuan untuk memberikan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

“Setakat ini, sebanyak 65 program AAGS dilaksanakan pada tahun 2023 melibatkan seramai 25,251 peserta. Program ini turut merangkumi Program Jerayawara KASIH KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI