PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan berada pada keadaan paling stabil ketika ini selain sokongan rakyat terhadap kerajaan juga berada pada status quo.
Itu jawapan diberikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebagai reaksi kepada dapatan dan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center mengenai tahap prestasi Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.
Rafizi berkata, dapatan bahawa Kerajaan Perpaduan kekal stabil itu diperolehi daripada badan kaji selidik dalaman milik PKR sendiri.
“PKR juga mempunyai badan soal selidik dalaman dan ia (badan selidik) yang membimbing PKR sejak 2016 hingga berjaya membentuk kerajaan. Namun, bacaan data itu dulunya kami siarkan, tetapi kini kami simpan sebagai ‘senjata’.
“Kajian dalaman itu mendedahkan populariti Perdana Menteri tinggi selepas ambil alih kerajaan dan kekal tinggi sehingga Mei sebelum menurun sedikit sekitar Julai hingga Ogos selepas isu kejatuhan matawang dimainkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Namun, populariti kerajaan meningkat selepas beberapa dasar ekonomi diumumkan sekitar September hingga Oktober, tetapi keadaan kembali mendatar antara Oktober hingga November,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di sini, hari ini.
Katanya, pada pandangan parti, Kerajaan Perpaduan secara keseluruhannya kekal utuh dan prestasi serta popularitinya berada pada status quo. – KOSMO! ONLINE