fbpx

Kanak-kanak dua tahun hilang disyaki dibawa arus longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan bomba masih melakukan operasi mencari dan menyelamat di Taman Goodwood, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun hilang disyaki terjatuh ke dalam longkang dan dibawa arus deras air hujan di Taman Goodwood, Bukit Palah, di sini, petang tadi.

Ibu mangsa, Nor Amiza Che Kar, 28, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kawasan tersebut dan hanya menyedari anak bongsunya, Muhammad Danish Mohd. Faizal hilang kira-kira pukul 3.25 petang.

“Saya berniaga nasi kerabu. Ketika itu hujan sangat lebat dan longkang sedalam kira-kira 1.2 meter di belakang gerai telah dipenuhi air hujan.

“Sebelum itu, saya nampak dia bermain di kawasan berhampiran dengan kakaknya berusia empat tahun tetapi tidak lama selepas tu Danish tiba-tiba tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

IBU mangsa, Nor Amiza menunjukkan gambar Danish yang disyaki terjatuh ke dalam longkang dan dibawa arus hujan di Taman Goodwood, Melaka.

Tambahnya, dia hanya menjumpai selipar dipakai mangsa yang berada di kawasan rumput di tepi longkang tersebut.

“Saya tanya kakaknya tentang Danish tetapi dia juga tidak tahu, jadi saya bersama suami Mohd. Faizal Maarop, 38 terus mencarinya di kawasan sekitar selama 20 minit.

“Kami bagaimanapun tidak menjumpainya dan suami telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru. Sehingga kini kami masih mencarinya kerana yakin Danish masih hidup,” ujarnya yang mencari rezeki di kawasan itu sejak tiga tahun lalu.

Katanya lagi, ketika kejadian anaknya itu memakai baju T bewarna biru dan merayu kepada orang ramai yang menjumpai atau terlihat kanak-kanak tersebut untuk memaklumkan kepadanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 3.45 petang daripada bapa mangsa.

“Setakat pukul 5.30 petang ini, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan hujan.

“Namun berdasarkan selipar mangsa ditemui ditepi longkang, kita syak mangsa mungkin terjatuh,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian.

Ujarnya, operasi pencarian itu melibatkan seramai 20 pegawai dan anggota daripada pasukan bomba serta polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI