fbpx

Jaga kualiti, jangan sampai pelancong lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PULAU Langkawi sepi tanpa pelancong? Berita mengenai pulau peranginan itu kerap muncul dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.

Bukan hanya cakap-cakap mulut, terdapat gambar Pantai Cenang, salah satu lokasi menarik di Langkawi yang sebelum ini meriah, kini lengang tanpa kehadiran pe­ngunjung dimuat naik dalam media sosial.

Entah di mana silapnya sehingga situasi itu berlaku. Ada yang mengaitkan perkara itu dengan sikap rakyat Malaysia yang ketika ini cenderung memi­lih untuk bercuti di luar negara.

Isu tersebut seterusnya menjadi perdebatan hangat selain ada yang mula menyenaraikan sebab-sebab mereka memilih luar negara berbanding percutian dalam Malaysia.

Bagi mereka, kos perbelanjaan terutama bercuti di selatan Thailand le­bih murah.

Misalnya, hotel empat bintang di Hatyai boleh didapati pada harga RM300 hingga RM400 semalam berbanding RM500 hingga RM800 di Malaysia.

Selain itu, ramai yang berpandangan kurangnya promosi dan pendedahan antara punca sektor pelancongan dalam negara agak ketinggalan.

Faktor-faktor itu yang mendorong orang Malaysia memilih negara luar ketika ini.

Menurut Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Siti Suriawati Isa, situasi itu berlaku apabila pemain industri luar negara dilihat menawarkan produk mereka pada harga mampu milik.

“Disebabkan kos perbelanjaan bercuti di luar negara bersesuaian dengan bajet, jadi orang kita pilih untuk ke luar negara.

“Pada masa sama, mutu perkhidmatan yang ditawarkan pemain industri di Thailand biasanya lebih baik, walaupun ramai mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, tiada identiti dan suka meniru juga antara produk pelancongan negara masih berada di takuk sama.

Ada segelintir pemain industri tempatan suka meniru produk luar dan tidak menonjolkan keistimewaan kepada pasaran.

“Sebagai contoh, kita lihat trend mural atau lukisan besar 3D pada dinding. Pada awalnya mungkin menarik perhatian pelancong, tetapi lama-kelamaan keindahan itu ‘mati’ kerana tidak dijaga dengan baik,” katanya.

Siti Suriawati menambah, si­tuasi itu dibimbangi mampu memberi impak negatif terhadap industri pelancongan tanah air untuk jangka masa panjang.

“Tidak dapat dinafikan trend rakyat Malaysia memilih negara luar sebagai destinasi pelanco­ngan secara berterusan boleh memberikan impak negatif terhadap pelancongan domestik.

“Meskipun begitu, jumlah pasaran pelancong yang melancong dalam negara masih besar terutama di destinasi popular seperti di Cameron Highlands, Pahang dan Melaka.

“Namun, kualiti perkhidmatan haruslah dipertingkatkan agar pelancong berasa tidak kecewa sehingga mereka memilih ‘lari’ ke luar negara,” tuturnya.

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan kepada kerajaan untuk merancakkan sektor pelancongan di Sabah dan Sarawak disebabkan tarikan tersendiridi dua negeri tersebut.

“Kadang-kadang destinasi pelancongan ini tidak begitu menonjol dalam media sosial seperti Kota Kinabalu, Sabah dan Ku­ching, Sarawak.

“Realitinya, Malaysia juga ada banyak destinasi dan produk pelancongan yang menarik setanding dengan negara luar. Jangan sesekali biarkan sektor pelancongan negara terkubur begitu sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI