LONDON – Manchester City akan terus kekal di puncak Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga jam apabila diikat Liverpool 1-1 pada aksi di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Kedudukan itu mungkin berubah sekiranya Arsenal berjaya meraih tiga mata ke atas Brentford pada perlawanan yang dijadualkan pada jam 1.30 pagi nanti.
Terdahulu, City yang mahu kembali bangkit selepas diikat 4-4 oleh Chelsea, 13 November lalu begitu bersungguh apabila menyenaraikan skuad terbaik termasuk Erling Haaland yang sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan ketika bersama Norway.
Bagaimanapun ia terbukti Pep Guardiola membuat keputusan bijak apabila penyerangnya itu meledak gol pembukaan pada minit ke-27 selepas menyempurnakan lorongan menarik Nathan Ake.
Jaringan itu menjadikan perlawanan bertambah menarik namun tiada tambahan gol mampu dihasilkan.
Menyedari situasi terdesak untuk mencari gol penyamaan, sembilan minit selepas aksi bersambung menyaksikan pengurus The Reds, Jurgen Klopp memasukan dua tenaga baharu dengan memasukkan Luis Diaz dan Ryan Gravenberch bagi menggantikan Curtis Jones serta Diogo Jota.
Minit ke-68, gawang Liverpool bocor buat kali kedua namun bernasib baik apabila pengadil perlawanan membatalkan jaringan Ruben Dias selepas terlebih dulu mengesan kekasaran Manuel Akanji terhadap penjaga gol The Reds, Alisson Becker.
Sebaik aksi berbaki 10 minit terakhir, usaha bertali arus Liverpool akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamed Salah cipta umpanan yang disudahkan oleh Trent Alexander-Arnold. – KOSMO! ONLINE