PUTRAJAYA – Setiap kampung, desa, rumah panjang dan kawasan projek perumahan rakyat bakal menerima sumbangan dana daripada kerajaan berjumlah RM50,000 hingga RM100,000 bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing bermula tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian dana itu dibuat menerusi inisiatif Dana Komuniti Madani dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membantu setiap kampung dan penempatan komuniti menjalankan kegiatan ekonomi.
Anwar berkata, ia merupakan pendekatan pertama seumpamanya yang dilaksanakan di negara ini sekali gus bakal memberi manfaat kepada puluhan juta rakyat.
“Bukan pegawai kementerian yang akan luluskan projeknya, tetapi kerajaan akan bagi wang ini kepada penghulu, penggawa atau jawatankuasa kampung yang akan memutuskan apakah projek ekonomi untuk kampung mereka.
“Ini kali pertama kita laksanakan bukan untuk tujuan membaiki jambatan atau masjid, itu peruntukan lain, yang ini hanya untuk tujuan aktiviti ekonomi seperti tanam sayur atau membuat kraftangan yang diputuskan oleh mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya, di sini hari ini.
Anwar berkata, seluruh agensi dan jabatan di bawah kementerian perlu mengambil perhatian berhubung inisiatif untuk membantu mana-mana jawatankuasa komuniti dalam melaksanakan aktiviti ekonomi itu.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri akan ditugaskan untuk memantau pelaksanaan dan perjalanan inisiatif berkenaan.
“Ini satu perubahan besar, saya mahu tengok apakah mampu orang kampung sendiri memutuskan aktiviti ekonomi mereka yang dilihat kos lebih rendah kerana tidak perlu bayar pegawai.
“Syaratnya perlu berbelanja secara berhemah mengikut peraturan. Kalau projek ini berlaku di Malaysia, kita negara pertama apabila puluhan juta rakyat menentukan projek sendiri, menjalankan kegiatan atas semangat musyawarah desa,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dana bagi inisiatif itu juga berkemungkinan ditambah sehingga RM2 bilion menjelang hujung tahun depan sekiranya pelaksanaannya lancar.
“Perbelanjaan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion, saya rasa pasti tidak cukup, mesti ada kemungkinan tambah sehingga RM2 bilion sebelum akhir tahun kalau perjalanan lancar dan kita berharap pegawai beri kerjasama dan mengelak pertindihan antara jabatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE