PETALING JAYA – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengambil banyak langkah untuk memastikan padang Stadium Nasional Bukit Jalil tidak akan rosak selepas berlangsungnya konsert Coldplay pada 23 November lepas.
Menurut pengerusinya, Datuk Hans Isaac menerusi sebuah video pendek di laman TikTok harimaumalaya_hm, kru bagi konsert Coldplay hanya dibenarkan masuk pada pagi 17 November, selepas perlawanan antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan selesai.
“Sebelum konsert berlangsung, kami telah pastikan keadaan padang berada pada tahap 100 peratus.
“Ketika kru Coldplay dibenarkan masuk, mereka hanya boleh bina pentas di atas trek. Sebelum itu, kita juga telah letakkan lapisan pelindung atas rumput,” katanya.
Tambahnya, lapisan tersebut bersifat kalis air dan dapat melindungi padang daripada sebarang kerosakan yang serius.
“Kami hanya beri masa 60 jam sahaja untuk kru Coldplay meletakkan pentas.
“Selepas itu, mereka perlu buka untuk pastikan cahaya matahari dan air sampai ke kawasan rumput,” katanya.
Tambah Hans, ada banyak perkara teknikal lain yang tidak didedahkan kepada umum mengenai persiapan padang sebelum konsert tersebut berlangsung.
“Netizan tidak tahu apa yang kita buat di sini. Mereka hanya lihat gambaran yang lebih besar.
“Tetapi, kerja-kerja yang dilakukan, mereka tidak tahu. Kalau kita cerita lebih-lebih, dikatanya menunjuk pula,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya merekodkan jumlah kehadiran mencecah 75,000 peminat.
Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas ia yang baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu. – KOSMO! ONLINE