PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kempen kurangkan gula diteruskan di peringkat kementerian susulan hasil laporan yang merekodkan penyakit kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara.
Perdana Menteri berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan kerana akan menyebabkan berlakunya pelbagai gangguan termasuk masalah kesihatan.
“Laporan menunjukkan penyakit kencing manis paling tinggi di Asia Tenggara ialah di Malaysia.
“Jadi, ini bukan urusan Kementerian Kesihatan, saya mahu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian yang ada di sini supaya kempen kurangkan manisan gula kerana ia jadi masalah besar kepada kita,” ketika berucap pada majlis perasmian KUD @ Putrajaya, di sini tadi.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu menjadi negara sihat kerana Islam menekankan keperluan menjaga kesihatan, namun negara dilihat menjadi nombor satu daripada segi penyakit kerana sering menggunakan gula secara berlebihan.
“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awan ada jamuan dengan arahan kurangkan gula. Kalau tidak saya rasa kesal (memandangkan) kesedaran Islam dengan dakwah dan tazkirah, (tetapi) diabetes paling tinggi.
“Maknanya kesedaran tentabg kepentingan kesihatan tidak dikawal, jadi usahawan yang jual, kejap lagi saya mahu rasa gula itu lebih atau kurang.
“Betul kalau kurang gula kata kita kedekut, (tetapi) bukan kurang sangat sampai tidak rasa manis,” katanya.
Baru-baru ini, hasil kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 melaporkan sebanyak 50 peratus penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, melalui dapatan tersebut juga mendapati, prevalens kencing manis di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara yang mana mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019. – KOSMO! ONLINE