MELAKA – Semalam tular di TikTok video seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati apabila keadaan ibunya, yang merupakan pesakit strok menjadi lebih teruk selepas terpaksa menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Individu menggunakan nama @Ummy FELLAH itu mendakwa dia membawa ibunya ke Klinik Pakar Ortopedik dan Unit Radiologi pada Selasa lalu bagi melakukan sinar-X dan telahpun diberikan borang untuk tujuan rawatan itu sebulan yang lepas.
Ujarnya, bagaimanapun kakitangan di bahagian pendaftaran menyuruh ibunya menunggu giliran untuk berjumpa doktor meskipun dalam keadaan lemah di atas kerusi roda dan tidak boleh duduk terlalu lama kerana menghidap strok.
“Seorang lelaki di bahagian kaunter tegur sebab tengok mak duduk terbongkok atas kerusi roda, katanya sepatutnya sudah ada borang terus ke bahagian x-ray.
“Sampai di kaunter pendaftaran x-ray aku diberi nombor giliran dan tunggu. Mak mula pening dan aku terus ke perempuan (kakitangan) tadi (menjelaskan) Puan, mak saya stroke, tak boleh duduk lama, itu dia dah terbongkok mula pening dan muntah, dia boleh jawab ‘habis tu’,” tulisnya dalam paparan berbentuk video.
Tambahnya, dia sebaliknya diminta untuk memarahi kakitangan di bahagian pendaftaran awal, manakala keadaan ibunya bertambah buruk sehingga mengalami muntah-muntah dan terpaksa ditadah menggunakan tangannya.
Tulisnya lagi, dia yang tidak dapat mengawal emosi kemudian telah menangis sambil memarahi kakitangan terlibat dan rawatan susulan ibunya ditunda ke tarikh baru.
“Dia (kakitangan terbabit) keluar dari kaunter minta maaf berulang-kali kata kalau dia bagi mak aku dulu, pesakit lain marah dia. Mana pergi sistem warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan OKU diutamakan, aku sangat hampa,” luahnya.
Susulan hantaran tular itu, Jabatan Kesihatan Melaka (JKNM) hari ini telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan siasatan sedang dilaksanakan berhubung dakwaan terhadap kualiti perkhidmatan Hospital Melaka.
Pengarahnya, Datuk Dr. Rusdi Ab. Rahman berkata, satu pertemuan bersama pihak waris juga akan diadakan bagi memberikan penjelasan selepas siasatan selesai dijalankan. – KOSMO! ONLINE