fbpx

Ulat bulu serang Kuala Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yunus menunjukkan ulat bulu yang semakin banyak di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah semalam.

ALOR SETAR – Selepas tujuh tahun, kehidupan penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut di Kuala Kedah, dekat sini kembali dihantui ribuan ulat bulu sehingga mengganggu kehidupan ­harian mereka sejak Selasa lalu.

Mereka mendakwa, badan berasa gatal sekiranya terkena ulat bulu tersebut, selain mampu memusnahkan tanaman penduduk serta pokok bakau jenis api-api yang terletak berhampiran.

Menurut seorang pemilik restoran, Zalila Had, 39, penduduk mula menyedari keha­diran ulat bulu tersebut pada Selasa lalu setelah mereka terlihat beberapa pokok api-api di kawasan tersebut kering dan layu.

“Apabila pokok itu dihampiri, kami terkejut melihat ulat tersebut yang kali terakhir dilihat pada 2016. Serangga itu muncul kembali dalam jumlah banyak. Kami bimbang, jika tiada tindakan diambil, ulat tersebut akan mematikan lebih banyak pokok, selain ­masuk ke dalam rumah seperti yang pernah dialami pada 2016.

“Disebabkan kedai saya cukup hampir dengan kawasan bakau, maka saya ambil keputusan untuk menutup perniagaan sehingga tindakan diambil bagi mengelakkan pelanggan terkena ulat tersebut. Pada masa sama, kami ambil inisiatif meracun ulat di pokok-pokok belakang kedai,” katanya.

Seorang penduduk, Yunus Saad, 59, berkata, kehadiran ulat-ulat itu pada 2016 amat mengganggu lebih-lebih lagi pada waktu itu, dia sedang mengadakan kenduri perkahwinan anaknya.

“Berdasarkan pemerhatian, setakat ini jumlah ulat tersebut walaupun banyak, tetapi tidak mencapai tahap seperti 2016. Walaupun masih di peringkat awal, kami amat mengharapkan supaya tindakan segera diambil agar kejadian tujuh tahun lalu tidak berulang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ku Othman Ku Jiwa, 63, memaklumkan, isterinya pernah dimasukkan ke hospital akibat terkena ulat tersebut sebelum ini.

Dalam pada itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Abdul Haliq Rafiq Mokhtar memaklumkan, pihak­nya akan menghantar pasukan pemantau ke lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI