KUALA LUMPUR – Dilabel sombong hingga sanggup ‘menjeruk’ apabila diajak bergambar, pelakon Ben Amir menempelak tuduhan yang disifatkan sengaja menjejaskan reputasinya itu.
Jelas pemilik nama penuh Muhammad Amir Sabaruddin itu, tiada sebab untuk dirinya bertindak sedemikian kecuali berada dalam situasi kecemasan atau bergegas ke tempat penggambaran.
“Setahu saya, tidak pernah pula saya lakukan begitu (tolak ajakan bergambar). Setiap orang mempunyai pandangan mereka masing-masing, tapi siapa yang kenal akan tahu saya bagaimana.
“Kalau ada sesiapa di sini yang ingin ambil gambar dengan saya, okey sahaja. Tapi kalau saya berada dalam situasi kecemasan, atau saya sedang hendak cepat, itu lain cerita.
“Itu pun saya akan tolak dengan cara baik. Jadi tiada istilah sombong atau enggan bergambar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditanya pula mengenai kelantangannya meluah pendapat dalam platform X, pelakon drama Suri Hati Mr Pilot itu mengakui lebih selesa melontarkan buah fikirannya di situ berbanding medium lain.
“Saya rasa semua orang mempunyai sisi kehidupan yang berbeza. Kalau dalam Instagram, saya lebih banyak muat naik kandungan mengenai kerja.
“Tapi dalam X, itu tempat saya meluahkan perasaan. Luahan itu saya tidak tujukan kepada sesiapa memandangkan saya suka cakap benda yang random.
“Kadang benda itu berlaku tahun lepas, barulah saya terfikir nak ciap. Cuma siapa makan cili dia terasa pedasnya,” jelasnya ketika ditemui di majlis pelantikan sebagai duta baju Melayu, Eastana Exclusive, baru-baru ini.
Sebelum ini, terdapat segelintir individu yang mendakwa Ben, 33, semakin sombong dan mengelak sekiranya diajak berbual dan bergambar di beberapa acara.
Malah ada juga yang berpendapat, kelantangannya dalam media sosial yang dilihat ramah tidak sama dengan pembawakan dirinya di luar. – KOSMO! ONLINE