SUBANG JAYA – Aksi cemerlang yang dipamerkan atlet negara pada temasya Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 2023 membolehkan mereka meraih durian runtuh melalui imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah hampir RM2.8 juta, hari ini.
Jaguh para renang negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli antara meraih imbuhan tertinggi dengan membawa pulang RM110,000 selepas dia berjaya memenangi pingat emas acara 100 meter (m) kuak dada SB4 yang membolehkan dia menerima RM80,000 selain gangsa 100m gaya bebas S5 (RM20,000).
Lebih manis, atlet kelahiran Sarawak tersebut turut menerima insentif tambahan sebanyak RM10,000 susulan kejayaannya memecahkan rekod temasya bagi acara kuak dada SB4.
Sementara itu, bintang skuasy wanita negara, S. Sivasangari turut menjadi atlet yang menerima SHAKAM tertinggi apabila dia berjaya memenangi emas saingan individu wanita sekali gus meraih RM80,000 dan tambahan RM20,000 lagi hasil kemenangan emas dalam acara berpasukan wanita.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, seramai 66 pemenang pingat Sukan Asia dan 37 pemenang pingat di Sukan Para Asia menerima imbuhan SHAKAM bernilai hampir RM2.8 juta.
Katanya, imbuhan tersebut bagi menghargai jasa dan sumbangan jurulatih dan pihaknya juga menyerahkan insentif menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR) berjumlah hampir RM550,000 untuk kedua-dua temasya berkenaan.
“Sejurus selepas saya lapor diri di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) pada Disember 2022, saya telah laksanakan pertemuan dengan atlet-atlet kita melalui sesi townhall pada 18 dan 22 Disember 2022.
“Hasil daripada libat urus ini, saya telah nyatakan dalam penggulungan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat semalam (kelmarin), bahawa
“Kementerian melalui MSN sedang meneliti pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk semua atlet di bawah Program Podium mulai Januari 2024.
“Lembaga Pengurusan MSN baru-baru ini juga telah meluluskan Kajian semula Skim Elaun Latihan Atlet Kebangsaan yang meliputi elemen KWSP dan PERKESO akan dilaksanakan juga mulai Januari 2024 bagi menjamin kebajikan dan kesejahteraan atlet negara,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian SHAKAM di Subang Jaya hari ini.
Kontinjen Malaysia membawa pulang 32 pingat yang terdiri daripada enam emas, lapan perak dan 18 gangsa di Sukan Asia manakala kontinjen para memenangi keseluruhan 39 pingat merangkumi tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa. -KOSMO Online