SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan dana Bantuan kemanusian Umat Islam Palestin sebanyak RM4,374, 280.63 kepada Tabung Musa’adah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, dana ini adalah sumbangan umat Islam melalui kutipan yang dibuat di masjid dan surau seluruh Selangor.
Baginda juga menjelaskan, agar pengumpulan dan penyaluran sumbangan rakyat Selangor kepada rakyat Palestin perlu dibuat dan diselaraskan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) seperti dititahkan bermula 13 Oktober lalu.
“Ini bagi menentukan agar pengelolaan dana dapat dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.
“Penyelarasan oleh TIJARI turut memberikan jaminan bahawa setiap infak umat Islam di negeri ini dapat disampaikan terus kepada rakyat Palestin tanpa sebarang ketirisan dan mengelak berlakunya penyaluran dana kepada pihak yang tidak berwibawa,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang.
Baginda turut berdoa semoga Allah dapat melindungi kemuliaan Masjid Al-Aqsa agar umat Islam dapat mendirikan solat dan membuat amal ibadat secara aman.
“Beta juga berdoa semoga Allah memberikan kemenangan kepada pejuang rakyat Palestin untuk menghapuskan kezaliman zionis Israel dan hak-hak mereka dikembalikan serta dapat mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat,” titahnya. – KOSMO! ONLINE