PETALING JAYA – Bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang berdepan hukuman mati di sini berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, merayu untuk tinggal di Australia dan menyatakan bahawa adalah berbahaya baginya pulang ke Malaysia.
Dalam temu bual eksklusif bersama saluran berita Aljazeera English’s 101 East, dia juga memohon maaf kepada keluarga Altantuya dan meminta pengampunan mereka.
Sirul mendakwa bahawa dia tidak bertanggungjawab atas pembunuhan itu walaupun telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia.
Menurutnya, dia telah dijadikan ‘kambing hitam’ dan terperangkap dalam permainan politik. Sirul juga mengaku menerima wang RM1 juta semasa berada di Australia daripada sumber yang tidak dinamakan untuk ‘menutup mulutnya’.
Dia juga membuat beberapa dakwaan serius yang belum disahkan terhadap beberapa personaliti terkemuka.
“Saya merayu kepada masyarakat di sini (Australia) untuk menerima saya. Saya berjanji kepada anak saya, saya tidak akan pernah melanggar undang-undang di sini. Saya (akan) ikut semuanya. Saya sedar bahawa ia benar-benar tidak selamat untuk saya kembali ke sana (Malaysia).
“Apa pun yang berlaku, saya mahu membina kehidupan bersama anak saya di Australia. Saya harap masyarakat Australia menerima saya (untuk) siapa diri saya. Saya bukan orang yang jahat.
“Saya suka Australia dari hati saya, dari jiwa saya. Beri saya peluang kedua. Satu perkara lagi. Saya akan meminta maaf kepada keluarga Altantuya. Tolong maafkan saya. Itu sahaja,” kata Sirul dalam wawancara pertamanya sejak dibebaskan dua minggu lalu daripada pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney.
Sirul adalah antara berpuluh-puluh tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang.
Ia membatalkan keputusan 2004 bahawa bukan warganegara tanpa visa boleh ditahan selama-lamanya dengan syarat kerajaan berhasrat untuk mengusir mereka secepat mungkin.
Sirul berkata, seorang pegawai polis Malaysia menemuinya sehari selepas dibebaskan dan memberitahu kepadanya bahawa menteri hal ehwal luar Australia telah menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia bertanyakan sama ada dia selamat di Canberra.
“Mereka memberitahunya saya selamat. Namun saya benar-benar kecewa, lihat berita, semuanya (ada) buruk tentang saya. Jadi, masyarakat di sini benar-benar takut dengan saya. (Mereka fikir) Sirul berbahaya,” katanya.
Australia tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan imigran yang menghadapi hukuman mati dihantar pulang ke negara asal mereka.
Altantuya ditembak di kepala pada 2006 di sebuah hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.
Sirul dan rakan bekas polis Azilah Hadri disabitkan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya, yang disifatkan sebagai jurubahasa. Azilah dijatuhkan hukuman mati dan ditahan di Penjara Kajang. – AGENSI