fbpx

SFZ di Forest City pacu pembangunan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Forest City. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Forest City akan dikategorikan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) dan bakal menjadi katalis kepada pembangunan Johor sebagai negeri maju menjelang tahun 2030.

Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Effandi Yusoff berkata, ia juga mampu meletakkan Malaysia di peta dunia khususnya dalam sektor kewangan dan perbankan antarabangsa.

“Pada masa sama, secara tidak langsung ia memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi melalui limpahan manfaat yang diterima pelbagai lapisan masyarakat sama ada daripada agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat.

“Keputusan menjadikan Forest City sebagai SFZ juga satu langkah tepat terutama dalam usaha memanfaatkan ekosistem yang telah wujud di kawasan berkenaan.

“SFZ diyakini dapat berkembang dan mampu mewujudkan satu ekosistem kewangan bersifat pelengkap serta mengimbangi negara jiran, Singapura dan bukannya bersaing antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Status kawasan pembangunan berkeluasan lebih 2832.79 hektar itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu bagi meningkatkan pelaburan asing sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi kawasan terbabit.

Zon khas berkenaan diwujudkan berikutan keistimewaan Johor yang berjiran dengan Singapura di samping infrastruktur lengkap yang terdapat di Forest City.

Mohd. Effandi memberitahu, Malaysia boleh menjadikan model pembangunan di Shenzhen dan Hong Kong sebagai rujukan kerana kerjasama bersifat saling melengkapi itu akan mewujudkan ‘dual core engine’ di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, infrastruktur asas di Forest City juga telah tersedia, maka langkah terbaik adalah memastikan projek itu dapat dijayakan bagi memberikan kesan menang-menang kepada kesemua pihak terlibat.

“Walaupun usaha itu mungkin ambil masa lima hingga 10 tahun untuk matang, namun ia mampu menjadi pemangkin kepada Johor mencapai potensi ekonomi sebenar sekali gus muncul sebagai suatu kuasa ekonomi di Asia.

“Usaha itu juga boleh menjadi pelengkap inisiatif terdahulu, antaranya usaha mewujudkan koridor Iskandar Malaysia di selatan tanah air sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan menjadikannya koridor paling berjaya dalam negara,” katanya.

Justeru, kata beliau, kerajaan Persekutuan serta negeri perlu menjalin kerjasama dengan pihak swasta bagi menarik kehadiran lebih ramai pelabur antarabangsa di kawasan SFZ di Forest City.

Ujar beliau, matlamat itu mampu dicapai dengan polisi-polisi relevan yang telah dilaksanakan kerajaan seperti pelaksanaan cukai lebih rendah, sistem pelepasan visa yang lebih fleksibel dan mesra pengguna.

Jelas beliau, langkah itu boleh dibuat melalui pengenalan insentif bersesuaian atau pelaksanaan cukai progresif yang memberi lebih imbuhan kepada syarikat antarabangsa memasuki pasaran tempatan.

“Perkara itu kemudian akan dapat mewujudkan kesan ‘siphon’ dan memacu pembentukan dan pelaksanaan rantaian perindustrian serantau.

“Kemasukan pelaburan asing bakal membawa impak positif kepada pertumbuhan jangka masa pendek dan panjang kepada negara ini.

“Limpahan kemasukan pelaburan asing itu akan turut disertakan dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta teknologi tinggi dan menyebabkan berlakunya perpindahan ilmu dan juga kemahiran kepada tenaga kerja tempatan,” katanya.

Tambah beliau, kemasukan pelaburan juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat sekali gus bertepatan dengan imej Forest City sebagai sebuah bandar antaraokbangsa masa depan bersesuaian dengan namanya.

Kata beliau, pembangunan kawasan tersebut juga dibuat dengan mematuhi kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang akan menarik pemain industri mempunyai misi dan visi selari dalam aspek penjagaan alam sekitar dari seluruh dunia untuk datang ke Forest City.

“Projek ini juga dilihat sebagai satu langkah penting dalam membantu negara mencapai komitmen pembangunan mampan di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI