fbpx

Separuh jalan Selangor telah luput

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Hampir separuh jalan raya di Selangor dikatakan telah berusia dan luput yang memerlukan penaiktarafan untuk kemudahan pengguna jalan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, sesebuah jalan raya mempunyai tarikh luput iaitu antara 20 hingga 25 tahun dengan penaiktarafan bagi memastikan strukturnya terus kukuh.

“Kalau strukturnya rosak, kita tampal sekejap sahaja rosak (semula). Tetapi hampir separuh jalan di Selangor ini adalah telah melebihi umur.

“Namun, proses naik taraf itu bajet tidak mencukupi untuk buat semua. Jadi, kita terpaksa buat secara berperingkat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mu’izzudden Mahyuddin (PN – Hulu Bernam) dalam mengatasi tampalan jalan yang banyak dan melebihi spesifikasi sepatunya sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Justeru, Izham yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan berkata, aduan paling banyak diterima adalah melibatkan Jalan Persekutuan yang tidak mempunyai kontraktor khusus.

“Memang ada (syarikat) Road Care itu tetapi tiada peruntukan khusus untuk menyelenggara jalan-jalan dia. Jadi, kena memohon.

“Contohnya Lebuh Raya Persekutuan itu sendiri dan juga mana-mana jalan yang mempunyai tanda FT yang melambangkan Jalan Persekutuan. Kalau jalan-jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, memang ada kontraktor yang memantau termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri telah meneliti teknologi baharu dan akan membuat pembelian Jetpacher dan Thermal Road Repair bagi meningkatkan mutu penampalan dan ketahanan jalan-jalan di Selangor.

Tambahnya, pemantauan turut dilakukan menerusi Sistem Integrated Road Assessment (i-RAA) yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Infra Sel Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab penuh untuk memantau dan laksanakan kerja penyelenggaran di Selangor.

“Sistem ini dibangunkan dan berjaya memantau segala jenis aduan
menggunakan teknologi moden termasuklah sistem dron bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai jalan-jalan yang rosak, berlubang dari masa ke semasa.

“Sistem i-RAA ini juga boleh mengambil aduan yang dimasukkan dalam media sosial seperti Facebook. Kemajuan kerja-kerja penyelenggaran selepas aduan dibuat juga boleh diketahui menerusi sistem ini,” jelasnya.

Kata Izham, kerja-kerja penampalan sementara bagi jalan berlubang akan dibuat dalam tempoh 24 jam dengan menggunakan bahan turapan ‘Cold Mix’ sebelum tampalan kekal dengan ‘Hot Mix’ dilaksanakan dalam tempoh tiga hari.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan setiap kerja-kerja korekan jalan raya untuk utiliti akan dikenakan cagaran berbentuk tunai bagi melakukan tampalan sekiranya tidak dilakukan kontraktor dilantik pihak utiliti.

“Kontraktor dia (utiliti) masuk hujung minggu, dia buat kerja dan tinggal begitu sahaja (selepas selesai kerja). Tampalan sepatutnya dua kali termasuk yang pertama selepas potong (bahagian jalan diperlukan).

“Selepas (tampalan pertama) kena datang balik dalam masa beberapa hari kemudian sebab ia (tampalan) akan turun atau mendap. Tetapi dia (kontraktor) tidak datang balik dan itu menjadi isu tinggi rendah sesuatu jalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI