SYABAS dan tahniah buat skuad Harimau Malaya yang dilihat bukan sahaja sudah berubah wajah, bahkan menampilkan gaya permainan menarik di atas padang.
Kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan dalam Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 membuktikan skuad Harimau Malaya memang ada belang.
Tidak hairan sekarang kenapa harapan rakyat Malaysia semakin menggunung ke atas skuad kebangsaan bimbingan pengendali import Korea Selatan, Kim Pan-gon dengan mengimpikan muncul sebagai 18 pasukan terbaik di Asia.
Tidak juga dinafikan, nampak ada kelainan dan menimbulkan perasaan teruja kepada para peminat sukan bola sepak tanah air untuk menyaksikan ketangkasan Harimau Malaya pada hari ini.
Aura Harimau Malaya semakin jelas terpancar dan bahangnya benar-benar dapat dirasai. Meskipun ada sinis, perli sana sini mendakwa skuad kebangsaan penuh dengan `pemain luar’ (naturalisasi), namun ia tidak menyalahi peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pasukan lawan mungkin tidak berpuas hati akibat tewas kepada Malaysia yang sebelum ini dipandang kerdil susulan kekalahan lebih banyak mewarnai sejarah skuad kebangsaan pada masa tersebut.
Sehinggakan pada suatu ketika skuad kebangsaan digelar sebagai ‘Sotong Malaya’ ketika dibawah kendalian jurulatih tempatan, Dollah Salleh dan pengendali import dari Portugal, Nelo Vingada.
Ketika itu, usahkan pujian tetapi segala caci maki terhadap skuad kebangsaan ibarat bertimbuan dan berguni banyaknya kerana bukan sekadar tewas, tapi dibelasah secukup rasa.
Bagaimanapun, sejak Pan-gon mengambil alih barisan kejurulatihan skuad kebangsaan pada 21 Januari 2022, sedikit demi sedikit berlaku perubahan dalam skuad Harimau Malaya dan barisan pemain pula dilihat lebih bersemangat untuk merebut kesebelasan utama.
Jika sebelum ini, ada pemain jual mahal apabila menolak panggilan kebangsaan, namun sekarang mereka pasti resah gelisah jika tidak dipanggil oleh Pan-gon. Skuad negara sudah lain macam, kian bersemangat kencang.
Sebagai peminat, situasi itu pastinya sangat menggembirakan dan mereka juga perlu memainkan peranan menyemarakkan semangat barisan pemain pasukan kebangsaan. Jangan hanya menunggu untuk mengecam dan mengkritik sahaja.
Menang dikritik, apatah lagi kalah sudah tentu dikecam bukan-bukan. Kena ingat, pemain yang terbaca komen di media sosial mungkin terluka dengan kata-kata negatif anda.
Seharusnya, para peminat menyemarakkan semangat barisan pemain Harimau Malaya dengan kata-kata indah, penghargaan, sayang akan pasukan kebangsaan dan sikap positif pada komen di media sosial.
Biar skuad Harimau Malaya yang membacanya bertambah bersemangat kerana percaya ekor harimau sentiasa bersorak dan berteriak memberi sokongan bukan hanya di Stadium Nasional Bukit Jalil sahaja, bahkan di luar sana.