KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan kenyataan menghasut yang menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan dalam sebuah ucapan pada 10 November lalu.
Razali, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N.Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Razali didapati telah menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 10 November lalu.
Justeru pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya.
Terdahulu pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh dilarang membuat apa-apa hantaran sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam Hasshahari Johari Mawi memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.
“Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik, ” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Razali diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain turut menetapkan syarat seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh 8 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE