fbpx

Piala Dunia B17: Juara bertahan berisiko tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BRAZIL mara ke suku akhir Piala Dunia B17 selepas menewaskan Ecuador 3-1 di Stadium Manahan, Surakarta pada Isnin lalu. – AFP

JAKARTA – Perseteruan dua gergasi bola sepak Amerika ­Selatan antara Brazil dan Argentina bakal diteruskan lagi apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi suku akhir Piala Dunia bawah 17 tahun (B17) Indonesia 2023 di Stadium ­Jakarta malam ini.

Sebagai rekod, pasukan ‘abang’ kedua-dua negara baru sahaja berentap sesama sendiri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Argentina selaku juara ­dunia menang 1-0 ke atas Brazil di ­Stadium Maracana, Rio de Ja­neiro ­kelmarin.

Kini, La Albiceleste sekali lagi menjadi halangan buat Brazil dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan dimenangi sewaktu edisi 2019 di laman sendiri selepas menewaskan Mexico 2-1 pada final ketika itu.

Pengendali Brazil, Phelipe Leal berharap agar anak-anak buah-nya tidak melepaskan peluang keemasan menewaskan seteru tradisi itu, sekali gus menebus kekalahan skuad senior mereka yang tumbang kepada Argentina hasil jaringan tunggal Nicolas Otamendi kelmarin.

“Kami memiliki ramai pemain berbakat yang mempunyai masa depan cerah. Saya yakin barisan pemain ini dapat mempamerkan aksi sebenar di atas padang bagi memastikan kemenangan dapat diraih nanti.

“Mengenai Argentina, mereka adalah pasukan yang berkualiti dan memiliki karakter tersendiri. Ia bakal menjadi satu lagi perlawanan epik bagi benua Amerika Selatan dan inilah cabaran terbesar buat kami,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Argentina, Ian Subiabre berharap rakan sepasukannya tampil lebih serius memandangkan status Brazil selaku juara bertahan.

“Pasukan lawan pasti lebih terdesak berbanding kami ke­rana status mereka dan saya harap pemain beraksi tanpa sebarang tekanan,” katanya.

Satu lagi aksi suku akhir hari ini menyaksikan pertembungan antara Sepanyol dan Jerman, manakala dua perlawanan berlangsung esok melibatkan Pe­rancis menentang Uzbekistan sementara Mali akan berentap dengan Maghribi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI