PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan calon bagi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sudah diputuskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Ada, ada (nama pengganti sudah ada),” jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai calon pengganti arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Ditanya bila nama itu akan didedahkan, Anwar berkata, ia akan diumumkan secepat mungkin.
Anwar semalam menafikan ramalan podcast Keluar Sekejap bahawa rombakan Kabinet akan dibuat pada Januari tahun depan.
Media sebelum ini membuat pelbagai spekulasi mengenai rombakan Kabinet,malah beberapa portal berita turut mengaitkan beberapa nama besar dalam komponen Barisan Nasional (BN) untuk kembali dilantik sebagai menteri.
Ia termasuk Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Turut bertiup kencang kononnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan memegang semula portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – KOSMO! ONLINE