JAKARTA – Seorang pengantin wanita tiba-tiba menari sambil disaksikan oleh suaminya ketika mereka menunggu untuk bergerak ke pelamin dalam majlis perkahwinan di Barabai, Kalimantan Selatan, lapor portal berita Tribun Trends semalam.
Ketika menari, pengantin wanita itu ketawa dan bercakap dengan suara tidak jelas sehingga menyebabkan tetamu majlis tersebut kebingungan. Ada antara mereka yang cuba untuk menenangkan mangsa tetapi tidak berjaya.
Kejadian itu turut dirakam dan disiarkan di laman TikTok menerusi akaun @veranadia.anggi.
Tidak lama kemudian, pasangannya turut dirasuk dan menari tetapi seorang wanita separuh usia bertindak menepuk-nepuk punggung lelaki tersebut.
Dia kemudian duduk di atas lantai dan dengan nada marah, meminta bunga kembang tujuh rupa.
Permintaan pengantin lelaki itu kemudian dipenuhi dan rasukan itu berakhir selepas kepala pengantin lelaki dan perempuan bersentuhan. kedua-dua mereka kemudian sedarkan diri.
Video itu mendapat tiga juta tontonan bersama 117 tanda suka dan ratusan komen di laman TikTok. – AGENSI