fbpx

Negara perlu 25,000 tenaga pakar siber menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (dua kiri) menyaksikan serahan Biasiswa Keselamatan Siber pada Program Pembangunan Kapasiti dan Sesi Dialog Awam RUU Keselamatan Siber di ISTAC-IIUM, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 25,000 pekerja pakar dalam bidang keselamatan siber menjelang 2025 nanti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih kekurangan pakar dalam keselamatan siber memandangkan negara hanya memiliki 13,000 pekerja dalam bidang tersebut ketika ini.

“Bagi menangani kekurangan 12,000 pekerja yang diperlukan itu, kerjasama antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan penggiat industri amat kritikal.

“Kekurangan pekerja berkemahiran dalam bidang keselamatan siber menunjukkan inisiatif diambil kerajaan tidak akan dapat menangani sepenuhnya isu ancaman siber dengan berkesan sekiranya tiada keupayaan, kesedaran, disiplin dan kerjasama dari semua pihak,” katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Program Pembangunan Kapasiti dan Sesi Dialog Awam Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) hari ini.

Dalam majlis tersebut, Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 telah dilancarkan dengan menggariskan secara komprehensif lima tonggak utama dengan 12 strategi dan 35 pelan tindakan untuk dilaksanakan.

Tambah beliau, kerajaan menyambut baik inisiatif dilancarkan melalui kerjasama strategik antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), institusi pengajian tinggi (IPT) dan penggiat industri, dalam usaha menambah baik dan menyegerakan kesediaan, keupayaan serta kecekapan keselamatan siber di Malaysia.

“Inisiatif berkenaan didukung melalui sumbangan biasiswa bernilai RM5 juta oleh Majlis Suruhanjaya Eropah kepada NACSA, bagi membantu mempertingkat keupayaan dan keberkesanan keselamatan siber negara.

“Sebanyak 2,000 rakyat Malaysia akan memperoleh manfaat daripada biasiswa berkenaan melalui kursus keselamatan siber bertaraf antarabangsa, serta penempatan pegawai dan penyelidik di NACSA.

“Perkara seperti itu secara tidak langsung dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan kapasiti keselamatan siber di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI