PETALING JAYA – Majikan tidak perlu terasa hati sekiranya pekerja mempunyai group WhatsApp berasingan untuk mereka meluahkan perasaan tanpa sebarang sekatan dan berkomunikasi secara santai.
Menurut hantaran Public Health Malaysia di laman Facebook, ruangan tersebut penting untuk memastikan kesihatan mental pekerja terjamin.
“Majikan tidak perlu rasa marah atau terkilan sekiranya pekerja ada ruang komunikasi berasingan dengan anda. Itu adalah normal dan anda tidak perlu ambil tahu.
“Group dengan majikan atau ketua biarlah dengan urusan kerja yang rasmi. Teruskan menjadi ketua yang profesional, rendah diri dan saling menghormati,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, pengguna di laman Facebook rata-ratanya bersetuju dengan hantaran tersebut.
Mereka juga mengakui group WhatsApp yang berasingan dapat menjadi tempat untuk meluah perasaan sekaligus mengurangakan tekanan di tempat kerja.
“Bos pun ada group sendiri untuk kutuk staf. Rilekslah, kalau tidak mahu kena kutuk, kena hidup dalam gua,” kata Luqman.
“Kadang-kadang, group tanpa bos ini adalah untuk memudahkan perbincangan. Senang nak uruskan apa-apa masalah antara staf sendiri,” kata Raihan.
“Tapi kutuk-mengutuk bukan berdosa ke?,” kata Siti.
Kini, hantaran tersebut mendapat 2,900 tanda suka dan 547 kongsi semula. – KOSMO! ONLINE