NEW DELHI – Seorang lelaki berusia 25 tahun di India ditahan semalam atas dakwaan membunuh isteri dan anak perempuannya dengan melepaskan seekor ular berbisa di dalam bilik mereka.
Stesen penyiaran NDTV melaporkan bahawa insiden itu berlaku lebih sebulan setengah lalu di daerah Ganjam, negeri Odisha.
Suspek dikenali sebagai K Ganesh Patra dilaporkan bergaduh dengan isterinya, K Basanti Patra, 23.
Mereka berkahwin pada 2020 dan mempunyai seorang anak perempuan bernama Debasmita berusia dua tahun.
Ganesh didakwa mendapatkan seekor ular tedung daripada seorang pawang ular selepas berbohong bahawa dia ingin mengadakan upacara keagamaan
Pada 6 Oktober lalu, dia membawa ular tersebut dalam balang plastik dan melepaskan reptilia itu ke dalam bilik tempat isteri dan anak perempuannya tidur.
Kedua-dua mereka ditemui mati akibat dipatuk ular pada keesokan paginya, manakala tertuduh dilaporkan tidur di bilik lain.
“Suspek ditahan lebih sebulan selepas kejadian kerana berlaku sedikit kelewatan untuk mengumpulkan bukti.
“Semasa soal siasat, dia menafikan tuduhan dengan mendakwa ular itu memasuki bilik mangsa dengan sendiri tetapi akhirnya mengaku melakukan jenayah itu,” kata Ketua Polis Ganjam, Jagmohan Meena. – AGENSI