fbpx

Konflik Palestin-Israel:Gencatan senjata peluang tipis kekang perang Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA kebal Israel dilihat semasa operasi ketenteraan di utara Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP

BEIRUT – Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian memberi amaran kelmarin bahawa perang di Semenanjung Gaza akan merebak ke serata Asia Barat, melainkan gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hamas dapat bertahan

“Sekiranya gencatan senjata ini bermula esok (semalam), sekiranya ia gagal diteruskan, situasi di Asia Barat tidak akan kekal seperti sebelum gencatan senjata dilaksanakan, bahkan perang ini akan merebak,” kata Amir-Abdollahian kepada saluran televisyen Al-Mayadeen yang berpangkalan di Beirut seperti petik agensi berita Fars.

“Kami tidak mahu meluaskan perang ini. Jika keamatan perang meningkat, setiap kemungkinan untuk skop perang ini berkembang boleh berlaku,” tambahnya.

Kelmarin Israel dan Hamas menyatakan bahawa mereka bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama empat hari di Gaza.

Di bawah perjanjian tersebut, pejuang Palestin akan membebaskan sekurang-kurangnya 50 tebusan yang ditawan dalam serangan berdarah mereka pada 7 Oktober lalu. Sebagai balasan pula, Israel akan membebaskan sekurang-kurangnya 150 tahanan Palestin dan membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dihantar ke Semenanjung Gaza selepas pengeboman berlarutan lebih enam minggu.

Tebusan yang akan dibebaskan dalam persetujuan tersebut terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, manakala tahanan Palestin pula ialah wanita dan remaja lelaki berumur 18 tahun ke bawah.

Amir-Abdollahian berkata, Iran melihat terdapat dua pilihan pada masa ini iaitu: “Pertama, gencatan senjata kemanusiaan tersebut bertukar menjadi gencatan senjata kekal.”

“Kedua ialah (Israel) terus mengancam rakyat Palestin, kemudian rakyat Palestin akan membuat keputusan mereka sendiri,” katanya sambil menambah, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak dapat memenuhi impiannya untuk menghapuskan Hamas.

“Kami menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Hamas,” tambahnya dalam wawancara sama, demikian menurut Fars.

Dalam perkembangan berkai­tan, pegawai-pegawai Israel ber­kata, tiada penangguhan dalam pertempuran di Gaza atau sebarang pembebasan tebusan yang ditahan Hamas sebelum hari ini, walaupun kedua-dua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.

Perjanjian itu diluluskan oleh kerajaan Israel awal kelmarin dan dijangka berkuat kuasa secara meluas semalam.

Bagaimanapun, seorang pegawai Israel memberitahu AFP awal semalam bahawa pertempuran antara Israel dan Hamas di Gaza tidak akan terhenti ‘sebelum hari ini’.

Perang tercetus selepas kumpulan Hamas melancarkan serangan paling buruk dalam sejarah Israel pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,200 orang terbunuh, kebanyakan mereka orang awam.

Hamas juga menawan kira-kira 240 tebusan dalam serangan itu, kata Israel.

Israel kemudian melancarkan kempen pengeboman besar-be­sa­ran yang disusuli serangan da­rat ke atas Semenanjung di Gaza.

Menurut Hamas, tentera Zio­nis telah membunuh kira-kira 14,100 orang dengan ribuan daripada mereka ialah kanak-kanak. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI