PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon doa dan sokongan rakyat untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Perpaduan mengecap pencapaian yang jauh lebih baik.
Menurut Anwar, selepas setahun pemerintahan dengan dasar yang jelas serta selesai mengatasi masalah asas rakyat, Kerajaan Perpaduan akan memulakan usaha lebih tegas untuk membangunkan ekonomi negara.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga akan lebih keras dalam mendepani pelbagai tantangan, salah guna kuasa dan rasuah.
“Ketika mengemudi bahtera sepanjang setahun lalu, saya memberi tumpuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ketara yang diwarisi, khususnya terkait pertumbuhan Malaysia yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam Sustainable Economic Development Assessment (SEDA).
“Kerajaan ini menghalakan usaha menstruktur semula ekonomi negara menerusi peluncuran kerangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Namun, lebih ketara adalah kelemahan dan kelompongan tatakelola. Saya yakin dan percaya Malaysia punya potensi yang sangat besar untuk diangkat martabatnya jika isu tatakelola diperbetulkan dan rasuah dalam negara dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menyingkap sejarah penubuhan Kerajaan Perpaduan bertitik tolak daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang bertitah sebuah kerajaan yang meliputi kesemua parti politik dibentuk bagi merungkai kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Kata beliau, di sebalik tindakan pihak yang menolak titah Baginda, kebuntuan itu terlerai selepas Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain sepakat mengenepikan permusuhan politik yang panjang.
“Meskipun dihantui pelbagai cubaan untuk meruntuhkan kesepaduan ini, semua parti terus tekal dengan kesepakatan ini. Alhamdulillah, hari ini kerajaan ini menerima sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE