PETALING JAYA – Kasut unik yang digunakan vokalis kumpulan Coldplay, Chris Martin mencuri tumpuan pada konsert Music Of The Spheres World Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kelmarin.
Kasut tersebut yang berwarna ungu dan merah jambu di bahagian atas manakala berwarna oren dan neon hijau di bahagian bawah kini merupakan satu-satunya dalam dunia.
Perkara itu dimuat naik semula peminat di media sosial selepas didedahkan Chris dalam satu acara di Perancis baru-baru ini.
“Kasut unik yang dipakai oleh Chris diperbuat daripada 17 pasang kasut lama yang dikutip dari tong sampah.
“Ia merupakan cebisan kasut dari jenama Nike, Adidas termasuk Hoka One One EVO Mafate,” katanya.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai memuji Chris atas usahanya memupuk kelestarian dengan mengitar semula kasut lama untuk digunakan dalam jelajah konsert kali ini.
Band popular berasal dari United Kingdom yang dibarisi oleh Chris, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion telah memulakan siri jelajah dunia sejak Mac tahun lalu dan mencatat rekod menerusi jualan tiket terbanyak di dunia.
Pada Mei lalu, Coldplay mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajahnya di beberapa negara Asia termasuk Jepun, Taiwan, Indonesia, Australia dan Malaysia bermula 6 November.
Di Malaysia, seramai 85,000 penonton direkodkan menyaksikan konsert tersebut dengan tiket yang dijual pada harga antara RM228 ke RM3,088. – KOSMO! ONLINE