BERDEPAN masalah ketidakseimbangan hormon sehingga membawa kepada tekanan emosi melampau dan obesiti pada masa lalu memberi kesan besar dalam hidup wanita itu.
Meskipun memiliki latar belakang dalam bidang perubatan, namun itu bukan tiket apatah lagi jaminan untuk dia kekal sihat.
Menyedari masalah dan impak pada kesihatannya, Dr. Norhaslinda Mat Hassin lantas bangkit berdepan cabaran serta ujian tersebut, sekali gus berkongsi manfaat kepada khalayak.
Lebih sedekad mencurah bakti sebagai pengamal perubatan am, dia kini memfokuskan kepada perubatan estetik, penuaan sihat serta regeneratif.
Untuk makluman, anak kelahiran Pulau Pinang itu mendirikan rumah tangga ketika tahun akhir pengajian perubatan di Universiti Malaya.
“Saya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan dan pembedahan sekitar tahun 2000.
“Selepas mendapat pendedahan dan latihan awal sebagai doktor di Hospital Universiti Kuala Lumpur (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya), saya berkhidmat di merata hospital dan klinik kesihatan sekitar Klang serta Pulau Indah (Selangor),” katanya kepada Aura.
Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga, dia tidak dapat melupakan kenangan menjaga kesihatan penduduk Orang Asli di pedalaman Pulau Indah selama dua tahun.
“Kalau ada yang mengatakan doktor bekerja dalam suasana selesa, dakwaan itu meleset sama sekali.
“Saya bersama pasukan perubatan perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda, meredah hutan belukar dan jalan tidak bertar untuk sampai ke perkampungan Orang Asli demi menyampaikan perkhidmatan kesihatan serta merawat pesakit.
“Di sini juga, saya banyak mempelajari mengenai penjagaan kesihatan ibu mengandung dan kanak-kanak kekurangan nutrisi serta zat,” katanya.
Diringkaskan cerita, akibat terlalu sibuk dengan kerja dan sedang hamil anak sulung kira-kira dua dekad lalu, dia mengakui terpaksa melalui pengalaman pahit berikutan tahap kesihatannya merosot.
Ia dikatakan berpunca daripada alahan berpanjangan.
“Saya anggap ini sebagai dugaan. Tahun demi tahun saya terdedah kepada tekanan kerja dan emosi yang tinggi kerana berdepan persekitaran tidak sihat setiap hari.
“Saya juga terdedah dengan asap kenderaan dan rokok, radiasi, gelombang elektromagnetik, pengambilan makanan tidak seimbang serta ketidakstabilan hormon badan.
“Impaknya, saya menjadi antara penyumbang statistik obesiti negara.
“Saya langsung tidak bertenaga, kerap keletihan, emosi kurang stabil, mengalami rambut gugur dan banyak lagi episod sengsara,” ujarnya.
Tidak mahu terus berpanjangan, wanita berusia 48 tahun itu nekad untuk ‘terbang’ ke Belgium.
Ia bagi mendapatkan ilmu lanjutan selama tiga tahun, sebelum diiktiraf sebagai Pengamal Hormon Lanjutan daripada International Hormone Society (IHS), Belgium di bawah didikan Dr. Hertoghe atau ‘Father of Hormones’.
Bermula dari situ dan tanpa modal besar sewaktu dunia dibadai pandemik Covid-19, anak sulung daripada empat beradik itu nekad untuk menyumbang semula kepada masyarakat menerusi kepakaran diperolehi.
Beritahunya, dia nekad membuka sebuah klinik yang memfokuskan rawatan masalah hormon iaitu Skyhill Clinic di Denai Alam, Shah Alam.
Sebelumnya, dia juga pernah mengusahakan Radiant Clinique selama lebih tujuh tahun dan teruja kerana dapat membantu ramai wanita yang mengalami masalah gangguan hormon, kulit kusam, jerawat, jeragat dan sebagainya.
Hasil usaha tanpa kenal erti putus asa, dia yang mesra disapa Dr. Linda pernah diberi peluang menjadi penceramah oleh Persatuan Wanita, Perwakilan Doha, Qatar sempena Hari Wanita Sedunia pada 2016, selain dinobatkan sebagai Ikon Wanita Pulau Pinang 2022.
“Saya banyak mendekati wanita korporat, berkerjaya, usahawan dan mereka yang mahu berjaya dalam tugasan, namun kerap mengalami keletihan, kurang fokus dan keyakinan dalam penampilan.
“Dengan cara ini, saya berasa lebih dekat dengan mereka memerlukan rawatan. Lagipun, rawatan bukanlah tertumpu kepada golongan berduit semata-mata. Misi saya jelas. Saya mahu membantu lebih ramai masyarakat tanpa mengira demografi mencapai tahap kesihatan optimum dan menjalani kehidupan lebih baik.
“Harapan saya, masyarakat khususnya wanita dapat menyahut cabaran untuk kekal sihat sepanjang hayat serta mendapat kehidupan lebih bermakna pada masa depan,” ujarnya.