PETALING JAYA – Sepasang suami isteri kini buntu untuk mencari dana bagi membeli ubat Entrectinib bagi merawat penyakit kanser tisu anak mereka.
Menurut Siti Nazirah Sasuddin, 37, anaknya, Aariz Ardhani Zainal Abidin, 2, menghidap kanser yang jarang berlaku itu sejak dilahirkan pada tahun 2021.
“Anak keempat saya itu dilahirkan di Hospital Gua Musang, Kelantan. Semasa dilahirkan saya perasan ada kesan merah seperti gigitan nyamuk pada bahagian dada kanannya.
“Masa itu saya biarkan ingatkan alahan biasa, namun selepas dua minggu timbul benjolan berwarna merah di tempat yang sama sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Siti Nazirah, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Krai tetapi hanya dimaklumkan hanya sakit hemagioma dan doktor memaklumkan itu adalah kesan biasa terjadi kepada bayi yang akan hilang sendiri.
Tambahnya, selepas tujuh bulan, benjolan itu semakin membesar sebelum dia mendapatkan rawatan di pakar kulit di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang.
“Selepas menjalani MRI, kesihatan Aariz semakin merosot apabila dia mula demam pada Julai tahun lalu dan dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya yang menetap di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.
Ujar Siti Nazirah, ketika itulah anaknya disahkan menghidap kanser yang menyerang tisu badan. Aariz telah menjalani kimoterapi untuk membuang tumor pada Disember 2022 dan April lalu.
“Selepas sebulan, kanser itu kembali menyerang dan kimoterapi juga tidak jalan. Doktor sarankan ambil ubat jenis Larotrectinib dari luar negara berharga RM200,000. Mana kami mampu,” katanya.
Menurut Siti Nazirah, suaminya, Zainal Abidin Hussain hanya bekerja sebagai polis bantuan di Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad.
“Doktor memaklumkan untuk cuba dahulu ubat Entrectinib yang berharga RM21,000 sebotol,” katanya.
Katanya, mereka merayu orang ramai membantu meringankan beban dan menyelamatkan nyawa anak mereka.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB Bank Zainal Abidin di 7601880412 atau boleh menghubungi di talian 011-6955 6518.