KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin pulih dengan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan kepada 1,137 orang daripada 309 keluarga.
Ia susulan penutupan empat PPS secara berperingkat bermula lewat petang semalam termasuk Dungun yang sudah pulih sepenuhnya daripada banjir.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, sebanyak 17 PPS masih beroperasi di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Besut.
Beliau berkata, Kuala Terengganu menjadi daerah paling terjejas dengan 482 orang daripada 133 keluarga di empat PPS.
“Seramai 423 orang daripada 114 keluarga pula berada di lapan PPS di Kuala Nerus dan empat PPS pula dibuka di Marang dengan 177 mangsa daripada 48 keluarga ditempatkan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Besut pula masih mempunyai 55 mangsa daripada 14 keluarga.
Beliau berkata, lebih ramai mangsa banjir dijangak akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing memandangkan cuaca diramal baik sepanjang hari ini. – KOSMO! ONLINE