KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini menurun kepada 57 orang setakat pukul 4 petang tadi.
Bilangan itu menunjukkan penurunan daripada 62 orang mangsa pada pukul 8 pagi tadi meskipun hujan renyai-renyai melanda kebanyakan kawasan sehingga petang ini.
Sekretariat Pengurusan Banjir Negeri Kelantan dalam satu kenyataan berkata, dua buah daerah yang masih terjejas banjir ialah Pasir Puteh dan Pasir Mas.
Menurutnya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh masih menempatkan seramai 30 mangsa daripada tujuh buah keluarga.
“Lima orang mangsa sudah pulang ke rumah masing-masing menjadikan seramai 27 orang mangsa banjir daripada tujuh buah keluarga masih berlindung di PPS SK Tok Deh, Pasir Mas.
“Enam sungai utama di negeri ini menunjukkan bacaan normal kecuali Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Temangan berada pada paras berjaga-jaga,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, selain itu, Sungai Semerak di Jambatan Melor turut mencatatkan bacaan berjaga-jaga manakala Sungai Golok di Rantau Panjang kekal mencatatkan paras bahaya. – KOSMO! ONLINE