fbpx

Zii Jia tahu potensi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zii Jia

HANYA tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum temasya Sukan Olimpik 2024 membuka tirainya bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan di Paris, Perancis.

Justeru, segala persiapan sudah pun dibuat dengan beberapa atlet masih memburu tempat untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga tidak terkecuali bekerja keras bagi memastikan kontinjen Malaysia dapat membawa pulang pingat emas pertama.

Antara usaha yang dibuat KBS adalah dengan mewujudkan program Road To Gold (RTG) yang memberi khidmat tambahan kepada barisan atlet terpilih, terutamanya dari segi latihan serta sains sukan.

Bagaimanapun, baru-baru ini ada perkembangan mengejutkan apabila pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memilih untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) untuk program berkenaan.

Di kala ramai atlet menyuarakan hasrat untuk berada dalam program elit tersebut, namun ia berbeza dengan Zii Jia meskipun dia dilabelkan sebagai antara prospek emas di Paris.

Bagi penulis, mungkin pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memiliki alasan tersendiri me­ngapa dia menolak untuk menjadi sebahagian daripada atlet yang menerima khidmat tambahan tersebut.

Meskipun program RTG dilihat mampu memberi nilai tambah kepada atlet-atlet terlibat, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri mengakui, beliau tidak memaksa mana-mana atlet untuk menandatangani LOC.

“Bagi saya, benda ini mudah sahaja. RTG adalah kemudahan yang kita wujudkan sebagai perkhidmatan tambahan kepada atlet-atlet ke Paris. Kita juga cakap RTG adalah platform untuk kita hapuskan birokrasi.

“Saya tidak boleh memaksa atlet untuk terima (RTG) atau mungkin mereka sudah ada fasi­liti lain yang boleh diakses, semuanya terpulang pada mereka. Mahu atau tidak, keputusan perlu dibuat atlet sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, penulis juga merasakan Zii Jia tidak perlu bimbang biarpun dia tidak berada dalam program RTG memandangkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin tidak akan meminggirkan mana-mana atlet.

Oleh itu, sekiranya Zii Jia berjaya melepasi saingan kelayakan ke Olimpik, dia tidak perlu khua­tir dengan kemungkinan tidak menerima sebarang bantuan memandangkan CDM sendiri sudah menyuarakan komitmennya.

“Saya cakap kepada Tan Sri Mohamad Norza (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan YB Hannah, memang saya berada dalam Jawatankuasa RTG, tetapi saya juga adalah CDM.

“Yang mana sudah layak (ke Paris), kita sedang cuba kumpulkan dan mendengar permasalahan yang mereka hadapi, kalau boleh MSN (Majlis Sukan Negara) atau MOM (Majlis Olimpik Malaysia) bantu, saya akan terus sampaikan,” ujar Hamidin.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai lima wakil di Paris 2024, antaranya Bertrand Rho­dict (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (me­nembak) dan

Ariana Nur Dania Zairi (memanah recurve) serta satu slot menerusi acara berbasikal lebuh raya wanita.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghormati keputusan setiap atlet kerana mungkin mereka sudah ada perancangan sendiri dan apa paling penting adalah mereka semua memikul nama Malaysia di Paris nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI