KUALA LUMPUR – Pelumba dalam pembikinan, Qabil Irfan Azlan membuktikan dia mempunyai bakat terbaik untuk diketengahkan selepas muncul juara keseluruhan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol sebentar tadi.
Biarpun berusia 11 tahun, Qabil tampil cemerlang apabila melakar kemenangan hatrik sejurus muncul juara pada perlumbaan 1, perlumbaan 2 dan perlumbaan Superfinal yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo hari ini.
Ketiga-tiga kemenangan tersebut membolehkan Qabil meraih 100 mata bersih bagi membolehkan dia dinobatkan sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc.
“Saya benar-benar gembira kerana berjaya melakar tiga kemenangan pada hari ini.
“Syukur Alhamdulilah saya menang perlumbaan hari ini dan terima kasih kepada kru pasukan ZK Racing yang siapkan jentera saya.
“Tidak lupa kepada ayah dan mak saya yang sentiasa menyokong saya,” kata Qabil yang menamatkan saingan Superfinal dengan catatan 14 minit 08.764 saat.
Hasil keputusan tersebut, pelumba Jepun, Kotaro Togashi berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 76 mata dan diikuti pelumba Sepanyol, Enzo Zaragoza ditempat ketiga dengan mengumpul 65 mata.
Pada Perlumbaan 1 petang tadi, Qabil mendominasi perlumbaan biarpun dikejar pelumba Sepanyol, Zaragoza dan Togashi.
Bagaimanapun, ia tidak mendatangkan masalah kepada pelumba kelahiran Terengganu itu untuk muncul juara selepas menamatkan saingan itu dengan catatan masa 10 minit 24.656 saat.
Pada perlumbaan 2, saingan lebih mencabar apabila Qabil tidak diberi laluan mudah untuk mendominasi perlumbaan tersebut selepas ditentang hebat oleh Zaragoza namun pelumba cilik negara itu berjaya memintas semula pelumba Sepanyol tersebut untuk kembali di hadapan.
Sejak itu, Qabil tidak pernah menoleh ke belakang dan terus memecut laju untuk muncul juara perlumbaan tersebut dengan catatan 10:26.086s sebelum muncul juara perlumbaan terakhir. KOSMO! Online