fbpx

Pusat industri perikanan bertaraf global di Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MB Inc. memeterai MoU dengan dua rakan strategik hari ini bagi membangunkan pusat industri perikanan bertaraf global di Bagan Datuk. Foto oleh AINSAFRE BIDIN/ KOSMO!
BAGAN DATUK – Menteri Besar Incorporated (MB Inc.) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Younchang Engineering and Construction (M) Sdn. Bhd. dan Chin Hin Group Berhad hari ini bagi menjayakan cadangan Projek Bagan Datuk International Fishery Industrial Park.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemeterian MoU antara MB Inc. dan dua rakan strategik berkenaan akan membolehkan satu pusat industri perikanan bertaraf global dimajukan di sini.
Beliau berkata, projek dengan nilai pelaburan RM2 bilion untuk tempoh 20 tahun itu sekali gus menjadi pemacu antara ekonomi utama dalam industri perikanan dan makanan halal di Bagan Datuk.
“Selain memberi nilai tambah kepada perkembangan ilmu serta kepakaran teknologi tinggi dalam industri bidang perikanan dan produk perikanan yang dihasilkan di Malaysia, inisiatif itu juga dijangka mampu menyediakan lebih 5,500 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri siri Ke-10 Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak bagi tahun 2023 di Dewan Lope Hashim di sini.
Saarani memaklumkan, sejak siri pertama hingga kesembilan program tersebut, sebanyak 1,308 aduan telah diterima dan daripada jumlah itu, 1,013 atau 77 peratus daripadanya telah diselesaikan manakala 295 aduan lagi masih di dalam tindakan.
Seperti di penganjuran sebelum ini, beliau berkata, kali ini turut diadakan Jualan Rahmah dengan kerjasama rakan strategik SEGI Fresh dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) yang melaksanakan jualan murah barangan keperluan asas dengan potongan sehingga 50 peratus.
“Sebentar tadi, saya turut berkesempatan menyempurnakan pelancaran Taman Kekal Pengeluaran Makanan-Zon Industri Akuakultur (TKPM-ZIA) Bagan Datuk yang dilihat selari dengan Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk untuk meningkatkan sumbangan sub sektor akuakultur negara dalam sektor perikanan di daerah ini.
“Pembangunan TKPM-ZIA yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Perikanan dapat mewujudkan zon pengeluaran kekal makanan bagi menjamin sekuriti makanan Negara serta mampu membangunkan dan meningkatkan penglibatan usahawan dalam bidang pengeluaran makanan secara komersil,” katanya.
Tambah Saarani, ia juga dapat meningkatkan pendapatan bersih peserta kepada sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan serta menggalakkan dan meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran makanan. – KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI