TOKYO – Pasukan saintis dari Universiti Tokyo menemui urutan kaedah pembiakan cacing silid hijau Jepun yang menanggalkan bahagian belakangnya bertujuan untuk mencari pasangan, lapor laman berita Sky News.
Dalam proses dinamakan stolonisasi, bahagian belakang cacing itu akan putus dan beredar.
Bahagian bawah dipanggil stolon itu dipenuhi telur atau sperma akan berenang untuk mengawan, manakala bahagian atas akan meneruskan kehidupan sekali gus mengelak perjalanan berbahaya dalam mencari pasangan.
Pasukan saintis berkenaan mendapati bahawa pembentukan stolon berlaku mengikut turutan iaitu bermula dengan kematangan gonad (organ pembiakan) dan pembentukan kepalanya sendiri.
Mata antena dan organ deria lain kemudian akan terbentuk dan akhirnya bulu berenang tumbuh. Proses akhir yang berlaku adalah perkembangan saraf dan ‘otak’ baharu.
Kebanyakan segmen badannya sama dengan bahagian atas cacing silid hijau.
Ketua penyelidik, Profesor Toru Miura berkata, ia adalah contoh yang luar biasa bagaimana haiwan menyesuaikan diri demi kelangsungan hidup.
“Ini menunjukkan bagaimana proses perkembangan biasa diubah suai agar bersesuaian dengan sejarah hidup haiwan yang memiliki gaya pembiakan yang unik,” tambahnya. – AGENSI