GEORGE TOWN – Pulau Pinang dijangka menjadi salah satu negeri dengan populasi warga emas terbanyak di Malaysia, menjelang tahun 2040.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pinang tergolong dalam kategori negeri yang menua.
“Ini kerana, peratusan penduduknya yang berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 7.7 peratus di mana 7 peratus merupakan penanda aras sebagai negeri menua.
“Kenaikan jumlah warga emas, terutamanya di Pulau Pinang akan membawa kesan yang signifikan terhadap pembangunan sosio ekonomi dan kedudukan fiskal negeri, sekiranya perhatian serius tidak diberikan terhadap isu ini,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata, golongan warga emas berhak menikmati hak sama rata tanpa mengira latar belakang.
Katanya, ia dapat dilaksanakan melalui sokongan yang berterusan dari aspek penjagaan kesihatan, kebajikan dan sosioekonomi untuk menghadapi hari tua dengan penuh martabat.
“Sebagai usaha untuk menghadapi cabaran negeri menua, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif pada tahun 2022 bagi mengiktiraf dan memperkasakan warga emas sebagai aset pembangunan negeri.
“Pelan ini memberi fokus kepada pelaksanaan program, mempertingkatkan jaringan kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta penggubalan dasar yang mampan untuk meningkatkan kesejahteraan sosial, fizikal dan psikologi warga emas,” katanya. – KOSMO! ONLINE